. »

Monday, April 18, 2011

Secebis Ingatan Buat Adam

Adam adalah pelindung hawa...

Adam...


Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.


Wahai Adamku...Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. 
Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu tatkala aku sentiasa mahu terpesong dari landasan... kerana aku buruan syaitan.
Adam... Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannnya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan-Nya.
Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana kerana Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.
Adam...
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku.
Tetapi... aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkahmu.
Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun... terasa berat pula untukku menyatakan isi perkara.
Adam...
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita.
Kau diberi amanah untuk mendidik aku.
Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.
Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini.
Kami dibiarkan terumbang-ambing tanpa haluan, malahan engkau juga mengambil kesempatan atas kelemahanku.
Dimana perginya keadilanmu?
Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Aku akur asalkan aku keluar dari rumah, seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut... tetapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.
Adam..
Mengapa kau biarkan aku begini? Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?Adakah akhlak kaum Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?
Adam...
Kau sebenarnya Imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketuaku.
Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku.
Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu.
Aku? Akalku satu, nafsuku sembilan.
Oleh itu Adam...pimpinlah, bimbinglah aku kerana aku sering lupa, lalai dan alpa sehingga aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.
Adam...
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegar munkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah.
Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang Agung.
Maafkan aku sekali lagi Adam... 
Andainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah di dadamu.
Jauh sekali niatku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu.
Waspadalah Adam...
Andai auratku terdedah...andai suaraku mengatasimu... andai langkah seiringmu... andai maruahku dirobek maka engkaulah yang bakal membawaku kepada kebenaran.
Usah dipersalahkan Hawa lantaran tewas mengemudi bahtera andai si Adam masih lena diulit mimpi...
Tetapi percayalah!!! Bukan emas yang kucari... bukan berlian yang kupinta... tetapi, hanyalah hati yang tulus ikhlas darimu...
Adam...
Dengarlah...keluhan hatiku buat dirimu...
Ikhlas dari Hawa abad ini..


p/s: sumber FB ( maaf xde link) sama ada I love Islam atau sharing dari FB

Wednesday, April 13, 2011

Di Manakah Cantiknya Seorang Wanita


alt
Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja.
Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak.
Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.
Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan. 
Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu.
Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam.
Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.
Anda ingin lebih cantik dan menarik?
# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.
# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.
# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.
# Pakailah "sabun istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.
# Rawatlah rambut anda dengan "selendang islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki.
# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin ukhuwwah.
# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian."
# Bedaklah wajah anda dengan "air wudhu".




p/s: kerdit I love Islam

Thursday, April 7, 2011

Hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W




Supaya hati kita tidak ‘keras’,kita mesti  selalu mendengar hadis-hadis  Nabi.“Orang yang tak mendengar hadis Nabi selama 3 hari ,hatinya akan keras”  dipetik dari salah satu post saya yang bertajuk “Persiapan Menghadapi  Kematian”.. nak tau lebih lanjut silalah baca post tersebut..Tajuk hari ini ialah hadis2 Rasulullah SAW.



Hadis Rasulullah SAW
1.  Perintahkan anak-anakmu supaya  melakukan solat yang telah di tetapkan ketika mereka berusia 7 tahun, dan hukumlah mereka  jika tidak melakukanya ketika berumur sepuluh tahun, dan saat mencapai usia sepuluh tahun tersebut,pisahkan kamar mereka.


2.  Prasangka adalah kebohongan yang paling hitam (membahayakan).


3.  Allah tidak menyayangi orang yang tidak menyayangi orang lain. Orang yang tidak menyayangi ciptaan Allah dan anak-anaknya sendiri, Allah tidak akan menyayanginya.


4.  Orang yang mahu berbuat baik terhadap fakir miskin ,maka Allah akan berbuat baik juga kepadanya, di dunia mahupun di akhirat.


5.  Barangsiapa mengunjungi orang yang sakit , salah satu dari malaikat-malaikat berseru dari langit; “Bahagialah di dunia ini dah bahagialah dalam perjalananmu , dan ambilan tempat tinggalmu di syurga”


6.  Isteri yang solehah adalah perhiasan yang paling baik bagi lelaki.

Saturday, April 2, 2011

Coretan Paling Istimewa.

contoh sahaja..(=

Coretan khas hari lahir saya!

2 April…

Tiap2 kali tarikh ini  dalam fikiran saya.. “aku dah bertambah umur lagi, cepatnya”

Cepat sungguh hidup ini, pejam celik saya dah 21 tahun hari  ini, rasa baru jer bersekolah tadika, baru jer darjah 1,semua ini masih segar dalam ingatan..

“Ayu, cepat gi skolah” ma berteriak pada aku dalam lorak bahasa Kelantan.. Aku ketika itu masih lena tidur..

Masih lagi aku ingat, ma menggosok gigi aku tiap2 pagi semasa aku berumur  7 tahun iaitu ketika awal persekolahan darjah 1. Aku cuma memejamkan mata kerana terlalu mengatuk.. Ma yang tak pernah jemu dan lelah menjaga aku, sanggup buat  apa sahaja untuk aku. Lama-kelamaan aku dah biasa bangun pagi.

Satu hari itu, cikgu menyuruh aku mengarang satu karangan yang bertajuk “sayang ibu, sayang ayah”.

Aku tanya ma “ Ma, ayah tu apa? Siapa ayah Ayu, nak tulis pasal ayah macam mana?”

Ma jawab “Abang Ju tu, tulis pasal abang Ju”..abang ju ialah abang aku yang no 2.

Aku tahu ma cakap macam tu supaya aku dapat menulis karangan aku itu. Aku tak pernah faham apa itu erti ayah dalam kehidupanku. Aku di lahirkan tanpa ayah sejak aku kecil lagi. Ma cakap aku ditinggalkan ayah aku semasa berusia 4 bulan. Apabila dah remaja, baru aku faham apa itu erti ayah. Tapi aku tak kisah walaupun aku tak pernah merasai kasih sayang seorang ayah pun, aku bahagia dengan kehidupanku dan kasih sayang ma.

Aku adalah anak bongsu dari 6 adik-beradik. 2 abang  dan 3 kakak, abang2 aku adalah anak pertama dan kedua, dan anak ketiga hingga keenam semuanya perempuan. Sebab itulah aku terlalu manja dan terlalu kewanitaan. Kadang2 aku tak suka orang menganggapku manja. Aku tak manja sebenarnya, cuma persekitaran yang terlalu ramai perempuan menyebabkan aku tidak ada sedikit pun kekerasan pada diri aku lebih2 lagi aku tidak ada ayah. Sebab itulah aku tidak ada langsung sifat kekerasan dalam diri. Pernah semasa sekolah menengah, budak2 lelaki memanggilku gedik, tak tahu la mana gediknya aku. Mungkin sifat aku yang tak ada kekerasan menyebabkan mereka memanggilku gedik. Tak sukanya!

Disebabkan itu ,aku pun menyertai kelab taekwondo. Aku nak jadi keras la sikit. Masa tu aku tingkatan 4.  Selama 4 bulan aku berlatih , belajar teknik mempertahankan diri ini. Cikgu Taekwondo aku menyuruh aku dan kawan2 aku untuk menyertai pertandingan taekwondo peringkat negeri. Cikgu cakap lawan kita akan dikira ikut berat badan. Aku baru sahaja memiliki tali pinggang kuning 1, rasa tak layak berlawan.  Tapi aku ‘join’ jugak!

Hari pertandingan itu, pesaing aku ialah Cina, perempuan yang tinggi dan bertali Merah Hitam. Aku dah mula gelabah, Merah Hitam kot. Tapi memang betul, tak sampai 2 minit aku dah disepak olehnya tepat pada muka. Fuh, sakit! aku nangis kat situ jugak, malu betul. Muka aku lebam, balik rumah tu ma aku marah dan tak benarkan aku menyertai kelab Taekwondo itu lagi. Aku lepas tu, tak pergi dah latihan Taekwondo,apa ma cakap mesti aku patuhi. Aku redha, memang lemah lembut takkan keras la punyer sertailah apa2 pun. Biarlah !

Tapi  sekarang baru aku sedar,lemah lembut adalah sifat wanita, jadi aku gembira sebab aku memiliki sifat ini. Sahabat2 baik aku menggelarkan aku sebagai “perempuan Melayu terakhir”.. Boleh la terima!

Abang2 aku dan kakak2 aku semua dah kahwin , kecuali aku. Jarak umur yang terlalu jauh menyebabkan aku keseorangan. Kakak no 5 beza 4 tahun dengan aku. Sekarang dah beranak  1, baru jer kahwin pada tahun 2009. Pada 25 Mac baru2 ini, aku telah mendapat anak saudara baru, lelaki iaitu anak abang Long. Tak sabar nak balik Kelantan tengok muka dia. Nak tunjuk juga muka Mak su ni, takut dia tak kenal aku Mak Su dia nanti. Dah bertambah anak buah, dah masuk 8 orang dah.

Cerita pasal aku pulak. Aku kalau  tiap2 kali keluar rumah , aku akan keluar dengan ma, aku takut keluar sorang. Biarlah orang fikir anak mak ke.  Pernah kot jumpa kawan ma, kawan ma tegur.

“Anak ke ni” kawan ma..

“Anak la ni,anak  bongsu ‘kakwe’ la ni”  ma jawab.

“Boleh buat menantu la, dia sorangkan tak kahwin lagi,lawa dah anak bongsu Kak Som yang kecil dulu. ‘Jurus’ budaknya” kawan ma cakap.

“Boleh sangat, InsyaAllah” jawabnya ma..

Malu aku dibuatnya. Kadang2 jadi anak bongsu ni tak best jugak, lagi2 bila kita jer yang tak kahwin lagi. Baru jer 21 tahun kot, tak sedia lagi . Tapi kalau dah tersurat Qada’ dan Qadar aku tak mampu nak halang.  

Aku dianggap ‘jurus’ atau budak baik kerana sejak Tadika lagi aku bertudung. Ma pernah cakap kat aku, nasihat yang akan aku ingat sampai bila2.

“Ayu tak boleh pakai ketat2 tau, Ayu kan anak ma”

Ingat lagi, aku pernah buka tudung, tak silap darjah 4 masa tu. Aku panas sangat sebab main lumba2 basikal dengan kawan2. Jadi aku buka tudung dan pakai skaf jer. Tiba2 jiran2 kampung aku bersuara.

“Tu bukan anak Kak Som, tak pakai tudung ?”

Aku yang dengar masa tu terus pakai tudung. Aku tak nak nama ma buruk kerana aku. Sehingga sekarang berkat ajaran ma aku kekal bertudung, dan paling istimewa, tahun ni aku bertudung labuh dan menutup aurat seperti tuntutan agama . Bahagia rasanya maruah terjaga!


Aku pernah buat ma menangis. Masa tu aku berusia  7 tahun.  Ma nak ajar aku mengaji Al-Quran, ma aku adalah guru Al-Quran di kampong aku hinggalah sekarang masih menjadi guru Al-Quran. Aku cakap kat ma:

“Ayu tak nak mengaji la ma”

Ma aku nangis, aku tak faham ketika itu, yer la, aku budak2 jer masa tu. Tapi Alhamdulillah berkat ma ,aku dah khatam Al- Quran. Guru Al-Quran aku, termaksud ma lebih kurang 4 orang kot. Termaksud kawan baik ma pun pernah jadi Guru Al-Quran aku juga. Aku tahu ma nak yang terbaik, jika ma sendiri ajar, mesti aku tak takut. Yer la, budak2 mana takut kat orang yang dia dah kenal. Lagi2 ma yang baik dan manjakan aku tu. Mesti ma tak sanggup rotan aku lebih2.

Cakap pasal rotan, aku dah banyak kali kena rotan kat ma, aku seorang yang iri hati semasa kecil dulu, masa tu umur  6 atau 7 tahun,aku dengki kakak ada kawan,aku memang tak ada kawan, sebab kat kampong tu tak ada sebaya aku. Aku dengki sangat, aku baling kawan kakak dengan kayu. Kayu tu kecil jer, besar jari telunjuk jer. Nangis kawan kakak. Ma bawa aku balik dan rotan aku. Aku nangis la,dan tak buat lagi benda buruk tu.

Ingat jasa ma yang tak dapat nak balas. Enam orang anaknya, ma jaga sorang2 jer. Aku masih ingat lagi, tiap2 kali aku mengenangkan kisah ni, aku mesti nangis. Masa aku kecil dulu, aku demam. Ma tak tidur malam tu. Aku muntah sampai habis satu badan kena muntah. Ma bangunkan aku, dan basuh muntah aku tu. Aku tiba2 tertengok tingkap rumah dan cakap kat ma.

“Ayu takut la ma”

Ma baca yasin sampai pagi. Ma tak tidur pagi tu. Air mata aku pasti akan jatuh bila mengenangkan kisah ini. Itu belum kira lagi jasa ma yang membesarkan aku sampai jadi insan berguna sekarang.

Nama Nurhayati  diletakkan oleh Pak Su aku. Ma nak sangat letak nama aku Ayu. Tapi Ayu tak ada maksud ikut bahasa Arab, jadi ma letaklah  Nurhayati tapi panggil Ayu. Nurhayati maksudnya “cahaya hidupku”. Cantik sangat maksudnya. Kawan2 baik kat Kelantan semuanya panggil aku Ayu, tapi di Universiti nama Ayu tu dah tak ada, sebab tak ada siapa pun kat sini kenal aku,jadi nama Yati lebih sesuai. Aku masih ingat lagi, darjah 6 masa tu,tak tahu la, kenapa la budak laki ‘jealous’ sangat dengan aku. Diorang cakap macam mana.

“kau perasan lawa,nama Nurhayati panggil Ayu”

Sebab tulah aku panggil Yati kat sini. Sebenarnya sejak tingkatan 1 lagi aku nak tukar panggil Yati. Tapi masa tingkatan 1,kawan sekolah rendah aku ketika itu satu kelas dengan aku, menyebabkan nama Ayu tu kekal. Jadi kat sini tak ada siapa yang kenal jadi nama Yati dah boleh guna. Hanya family dan kawan2 baik jer akan panggil aku Ayu. Ada perbezaan panggilan,best jugak!

Orang yang paling aku sayang semestinya family aku. Paling aku sayang, semestinya ma aku. Ibu yang terlalu banyak jasanya dan terlalu baik. Jom doa sama2:

“ Ya Allah panjangkanlah umur ma, angkatlah darjat ma, berikanlah petunjukMu setiap saat pada ma, berilah RahmatMu pada ma, jauhilah ma dari api neraka, tenangkanlah hati ma selalu, berikanlah rasa bahagia pada ma, Ya Allah Yang  Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Kau makbulkan segala doa2 ma.. Kau makbulkanlah segala doa2 ma… Kau makbulkanlah segala doa2 ma setiap saat…. Dan doa ini…Amin2 Ya Rabbal ‘Alamin….”

Rasanya sampai sini jer la coretan ini.
Ini adalah Hadiah hari Lahirku Buat pembaca Blog..
Coretan cukup istimewa bagi saya buat tatapan semua..


Wassalam..



<AYu>



Lahirnya Nurhayati..
2 April 1990, hari Isnin bersamaan 6 Ramadhan 1410 hijrah. Pada ketika itu, semua orang bangkit untuk bersahur, tetapi saya mahu keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia ini,serta untuk menjadi salah seorang khalifah Allah di bumi Allah ini. Tepat jam 2.55 pagi, saya selamat dilahirkan. Hampir satu bulan ibu saya perlu mengantikan puasa kerana kelahiran saya itu. Itulah pengorbanan seorang ibu yang cukup tidak ternilai harganya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...